PENDAHULUAN
Perkembangan Teknologi Maklumat begitu dinamik termasuk juga di bidang pendidikan. Sebagai seorang pendidik, kita perlu menguasai kemahiran Teknologi Maklumat dalam menyempurnakan tugas proses pengajaran dan pembelajaran.
Era teknologi maklumat di zaman ini merupakan satu pembaharuan yang telah memberikan kesan yang mempengaruhi perkembangan sesebuah organisasi yang bergantung kepada teknologi ini. Informasi memberikan maksud data yang telah diproses menjadi panduan dan juga landasan bagi membuat sesuatu keputusan seperti yang dinyatakan oleh Davis dan Olson “a data that has been processed into a form that is meaningful to the recipient and is of real perceived value in current or perspective decisions”.
Maklumat (Information) ialah data yang telah disusun supaya ia mempunyai maksud dan nilai kepada penerima. Penerima mentafsir maksud serta membuat kesimpulan dan implikasinya. Data yang diproses oleh sesuatu program aplikasi menggambarkan kegunaannya yang lebih spesifik dan mempunyai nilai tambah berbanding capaian ringkas daripada sesebuah pangkalan data.
Maklumat juga boleh didefinisikan sebagai satu data yang boleh digunapakai dan dieksploitasi untuk mencari maklumat baru sehingga berjaya mengubah ataupun menambah sesuatu keputusan yang telah dibuat. Maklumat juga boleh mengurangkan keraguan dan juga kekeliruan berkaitan sesuatu perkara, kenyataan dan juga kejadian yang berlaku.
Teknologi pula boleh difahami sebagai satu mekanisme atau kaedah baru dalam melakukan atau menghasilkan sesuatu yang mana ianya melibatkan ilmu pengetahuan dan juga kepakaran yang pelbagai. Teknologi membawa kepada perubahan yang besar dengan kualiti dan kuantiti sesebuah produk dihasilkan bersama.
Teknologi maklumat pula bermaksud kepakaran dalam bidang pengurusan dan bermula daripada penghasilan sehinggalah penyampaian ke pengguna terakhir dan ianya berkesinambungan dan berterusan sehinggalah objektif tercapai.